Jumat, 27 Desember 2013

Kenapa madu melekit




SAINTIS berjaya merungkai punca madu melekit.




PERTIKAIAN tentang mengapa madu sangat melekit pada sudu dan sebagainya berjaya dirungkaikan oleh saintis baru-baru ini.
Sebelum ini, ada pihak yang mengatakan keadaan itu disebabkan molekul gula memperlahankan molekul air. Ada juga dakwaan sebaliknya. Tetapi, kajian terbaru mengesahkan bahawa kedua-duanya pun betul. Segalanya bergantung kepada sisi kajiannya.
Pengkaji Australia, Prof. Madya Glenn Hefter dari Murdoch University di Perth, Australia dan kumpulan pengkajinya melaporkan perihal itu dalam Journal of Chemical Physics.
Madu secara asasnya adalah air yang mengandungi pekatan gula yang tinggi.
Beberapa pengkaji berkata, bahawa cecair seperti itu adalah melekit dan mudah melekat kerana molekul gula memperlahankan molekul air, kata ahli kimia Dr. Ian Larson.
Bagaimanapun, ada yang mengatakan molekul gula tidak memberi kesan kepada pergerakan juga adalah tidak salah.
Para pengkaji telah menyelesaikan pertikaian tersebut dengan melakukan eksperimen menggantikan gula kepada garam kerana ia bertindak balas secara serupa tetapi lebih mudah untuk dikaji.
Para pengkaji melihat kepada dua jenis pergerakan molekul air: pergerakan translasi atau pergerakan ke hadapan dan pergerakan putaran.
Mereka mendapati, pergerakan translasi molekul air bergerak perlahan tetapi ia tidak memberi kesan kepada pergerakan putaran.
Larson berkata, ia boleh disifatkan seperti pergerakan kereta-kereta dalam kesesakan lalu-lintas. Kereta mungkin mengubah lorong di sebelah tetapi tidak boleh bergerak ke hadapan.
Larson berkata, pendapat yang bertentangan sebelum ini sebenarnya tidak bertentangan langsung.
Katanya, ia disebabkan oleh ukuran berbeza para pengkaji pada pergerakan molekul air.
"Ia bergantung kepada apa jenis eksperimen yang anda lakukan, ia boleh jadi pergerakan translasi atau pergerakan putaran," kata Larson. "Semua orang betul," tambahnya.

0 komentar:

Posting Komentar