SHAH ALAM – Nahas tragik di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu lepas yang mengakibatkan kematian seorang marsyal perlumbaan dan penunggang remaja, bukan disebabkan kurangnya aspek keselamatan di litar, kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.
Sebaliknya kata beliau, berdasarkan pegawai perlumbaan, nahas itu adalah kemalangan perlumbaan.
Kemalangan juga bukan disebabkan kesilapan penunggang dan berdasarkan laporan kepada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), marsyal mematuhi protokol pengibaran bendera ketika kejadian, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau sebelum itu hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SIC dan Rapid Bus Sdn Bhd bagi Shell Advance Malaysian MotoGP 2013.
Dalam insiden 12.20 tengah hari Sabtu lepas, Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim yang beraksi dalam kelas 250cc Kejuaraan Motosikal Super Siri (MSS), dipercayai gagal mengawal jenteranya di laluan lurus sebelum terbabas dan melanggar marsyal perlumbaan S. Satish, sebelum berakhirnya sesi latihan.
Akibat kemalangan itu, Satish, 44, meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada hari yang sama, manakala Muhammad Izzat,17, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur semalam susulan kecederaan parah yang dialaminya.
Razlan berkata beliau masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa berkenaan sama ada perlu meneliti semula protokol pengibaran bendera untuk acara sukan bermoto yang berprestij.
Mengenai Malaysian MotoGP, Razlan berkata SIC menjangka lebih 130,000 penonton hadir sepanjang tiga hari acara yang bermula 11 Okt itu dan 80,000 penonton pada hari kemuncak.
“Kita sudah menjual lebih 83 peratus tiket setakat ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Zohari Sulaiman berkata syarikat itu akan menyediakan perkhidmatan khas dari ibu kota dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang ke SIC sepanjang acara berlangsung.
Tiket untuk perkhidmatan bas itu sudah dijual sejak 17 Sept lepas. Penumpang akan diambil di KLCC, KL Sentral dan LCCT.
“Rapid Bus juga menyediakan perkhidmatan percuma untuk penonton di kawasan litar,” katanya. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar